[Bahagian 1]
Assalamualaikum.
Pertama sekali, mari berbahasa Melayu. Yezza.
Pada hari yang mulia ini, aku ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai pengalaman aku belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu atau singkatannya SMKAKK. Biasanya orang akan eja sebagai SMAKK , maka bunyinya menjadi "SE-MEK". Aku mengaji kat sekolah ini selama setahun 6 bulan lebih kurang, yakni semasa tingkatan 1 dan tingkatan 2. Ini merupakan pengalaman pertama belajar kat sekolah berasrama.
Pada mulanya, aku tak begitu tahu mengenai jenis-jenis sekolah yang wujud di negara ini. Tapi aku tahu kewujudan sekolah ini sebab sekolah ini berjiran dengan Masjid Nurul Hikmah, yang merupakan masjid yang dikunjungi untuk solat Jumaat, juga merangkap sebagai tempat aku belajar Darjah 6 sekolah rendah agama. Maka, pada setiap hari Jumaat, akan kelihatan pelajar-pelajar berbaju melayu putih dan bersamping biru (SMAKK) serta mereka yang berbaju melayu putih dan bersamping kuning emas songket (SMS Sabah).
Kronologi Kemasukan
Semasa di bangku Darjah 6 di SRK St. Agnes, cikgu dan ustaz aku sewaktu itu telah mengedarkan borang permohonan SBP dan SMKA. Maka, isi sahajalah. Namun, rentetan keputusan UPSR 3A 2B, aku telah ditempatkan ke SMK Likas untuk sambung pendidikan menengah.
3 Januari 2005 (Isnin) - Aku mendaftarkan diri di SMK Likas. Melalui permulaan orientasi yang agak membosankan. Namun, yang seronoknya, ada beberapa classmate SRK St Agnes yang masuk sana.
4 Januari 2005 (Selasa) - Sesi persekolahan di SMK Likas adalah sesi petang. Maka, atas ketetapan Allah, aku telah rasa tidak sedap perut sewaktu dalam perjalanan ke SMK Likas, namun sewaktu itu mak aku dah pandu kereta separuh jalan, maka kami pun singgah ke Masjid Nurul Hikmah. Usai dengan urusan perut itu, aku bertembung dengan Guru Besar sewaktu aku Darjah 6 di situ. Guru Besar , merangkap guru tilawah aku itu, melahirkan rasa terkejut melihat aku lalu bertanya, "sekolah mana ni ? tahukah kamu dapat SMAKK dan Toh Puan (pendek untuk SMA Toh Puan Hajah Rahmah di Sembulan)? kenapa kamu tak mendaftar?" . Sewaktu itu, aku rasa sangat gembira dengan berita itu kerana aku suka sangat akan SMAKK itu. Justeru itu, aku pun menerangkan perihal yang aku tidak dapat sebarang surat tawaran untuk mendaftar ke SMAKK. Petang itu petang terakhir di SMK Likas.
5 Januari 2005 (Rabu) - Pagi itu, aku mengajak ayahku ke SMAKK untuk pra-lihat apakah yang sebenarnya ada di situ. Jujurnya, aku kagum melihat infrastruktur dan suasana yang indah di situ. Selama ini, aku cuma melihat menerusi pagar tangga yang menjadi laluan para pelajar SMAKK untuk turun ke Masjid Nurul Hikmah. Pada masa itu juga, aku lihat para pelajar sudah memulakan sesi persekolahan termasuklah pelajar-pelajar tingkatan satu. Rupa-rupanya, mereka telahpun mendaftar pada hari Isnin itu.
6 Januari 2005 (Khamis) - Alhamdulillah, pada tarikh ini aku telah berjaya mendaftar sebagai pelajar SMAKK. Pendaftaran diadakan di Bilik Kaunseling, yang diuruskan oleh Kaunselor, Pn Fazliah. Turut sama mendaftar pada tarikh ini adalah Ag Zaky dan secara tak langsung merupakan teman sebilik aku di asrama. Sejurus selepas itu, aku pulang ke rumah untuk membeli barang-barang keperluan seperti baldi dan rakan-rakan sebelum kembali ke SMAKK pada maghrib itu untuk menempuh hari-hariku yang seterusnya di sana.
Tidak dapat dinafikan, perasaan aku sewaktu itu bercampur-baur. Mana tidaknya, pertama kali belajar di sekolah berasrama dan berjumpa dengan rakan-rakan baru serta perlu berhadapan dengan pelajar-pelajar yang lebih kanan. Basuh baju sendiri ? Gosok baju sendiri ? Hantu ? Maggi ? dan macam-macam lagi.
[insyaAllah...akan bersambung]

ngah tggu versi jumpe adik beradik charls jer.. hehehe
ReplyDeleteamer! haha.adek beradek charles tu, insyaAllah bakal menyusul nnti.hehe
ReplyDelete