pada malam yang indah ini, penulis tergerak hati untuk berkongsi mengenai satu fenomena yang giat berlaku di negara ini, terutamanya dalam kalangan muda-mudi negara kita. sememangnya, sesuatu yang kita lakukan itu adalah perbuatan yang kita suka dan menjadi kebiasaan, sudah pastilah kita merasakan perbuatan itu benar, meskipun sudah ternyata perbuatan itu salah. kita akan cuba mempertahankan perkara tersebut, walaupun pelbagai bukti telah dikemukakan dan ditayangkan pada kita. itulah fitrah kita. namun, apakah harus kita membiarkan kebiasaan itu menjadi sebahagian daripada hidup kita? kebiasaan yang menjadi gunting dalam lipatan, api dalam sekam, musuh dalam selimut. kebiasaan yang bagai melepaskan anjing yang tersepit. bahaya, bahaya. Jauhkanlah diri kita selagi kita mampu. Andai kata tidak berkuasa, minta tolonglah dari yang lebih bermaya. Sebagai pendorong kita, dan pengubat luka.
Fenomena yang ingin dinyatakan ini, amatlah nyata di mata kita pada masa ini. restoran-restoran di kota raya menjadi tumpuan pengunjung untuk menikmati habuan duniawi ini. maaflah sekiranya penulis tidak mahir berbicara atau terkasar bahasa, tetapi sekadar berkongsi sahaja. untuk kepentingan bersama. penulis mendapat keratan ini dari sebuah laman dan untuk tahu lebih lanjut, bolehlah melayari laman web tersebut. harap-harap dapat menjadi pedoman bersama. insyaAllah.
SHISHA DAN HUKUMNYA
Pengamalan merokok oleh masyarakat dunia hari ini bukanlah lagi suatu perkara yang baru seperti mana ketika ia mula-mula diperkenalkan di penghujung kurun ke 10. Budaya menghisap asap ini telah dipelbagaikan dengan aneka bentuk dan cara bagi memenuhi citarasa golongan penghisap asap ini. Antara bentuk yang tidak asing lagi adalah dengan menggulung. Bentuk lain lagi adalah dengan menggunakan paip penyedut bersama dengan makanisma air yang dikenali dengan Sheesha atau Narjilah dalam masyarakat Arab. Di sesetengah negara lain terkenal dengan penggunaan ‘pipe’ dan curut.
Apapun bentuk dan cara yang diperkenal dan diamalkan oleh golongan merokok ini namun perbahasan kepada hukum perbuatan ini bukanlah kepada bentuknya tetapi kepada kesannya. Oleh itu kita mendapati bahawa perbuatan menghisap sheesha seolah-olah tidak sama dengan perbuatan menghisap rokok gulung yang biasa kedapatan. Lantaran kemungkinan ada yang menyangka bahawa tidak ada masalah menghisap sheesha tersebut.
Perlulah diketahui bahawa sheesha ini sudah menjadi pengamalan dan budaya yang tidak baik bagi masyarakat di Mesir yang sukar dikikis. Budaya ini menjalar dan membiak dengan subur dengan pembukaan terlalu banyak kedai-kedai kopi yang menyediakan perkhidmatan menghisap sheesha ini kepada pelanggan. Tidak cukup dengan kedai kopi, kegiatan menghisap sheesha ini diamalkan di rumah-rumah oleh si suami yang menghisap di hadapan ahli keluarga mereka tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya.
Oleh itu, apakah hukum menghisap sheesha ini?
Hukum menghisap sheesha ini adalah sama dengan hukum merokok yang telah dibahaskan oleh para ulama’ secara panjang lebar dalam masalah merokok ini. Ini kerana perbezaan hanyalah kepada rupa tetapi kemudaratan yang dibawa menatijahkan hukum yang sama yang telah dipastikan oleh kajian perubatan pada hari ini.
Kajian yang telah dibuat berkenaan sheesha menurut Dr, Husam dalam artikelnya di dalam web Islamonline menyatakan bahawa kesemua penggunaan sheesha membawa kemudaratan kepada kesihatan sama ada menggunakan tembakau atau yang menggunakan bahan-bahan daripada buah-buahan yang telah dirawat dengan cara-cara tertentu.
Selain itu banyak kajian telah dilakukan seperti kajian yang telah dilakukan di Kuliah Pergigian di Universiti Al Azhar, kajian di Geneva 2001, kajian di Kuliah Kesihatan di Universiti Amerika di Beirut. Kemudaratan yang dinatijahkan oleh pengamalan sheesha ini juga diperakui oleh Dr. Abdul Hakim Mahmud Ketua Bahagian Sakit Dada di Perubatan Qasrul Ain, Dr. Toriq Ketua Bahagian Sakit Dada di Perubatan Ain Syams dan Dr. Maisah di Bahagian Sakit Dada di Perubatan Qasrul Ain.
Setelah jelas bahawa kedudukan menghisap sheesha adalah sama dengan merokok secara menggulung yang telah menjadi kebiasaan maka hukum sheesha ini adalah sama dengan hukum golongan perokok biasa.
Perbahasan merokok telah diketahui umum bahawa terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama’. Pendapat yang diterima oleh Dr. Yusuf Qaradawi di dalam fatwanya adalah haram hukumnya dan Bekas Mufti Mesir iaitu Dr. Nasr Farid juga telah mewartakan bahawa hukum menghisap rokok ini adalah haram. Fatwa ini telah ditampal di semua masjid dan tempat diseluruh Mesir dan telah diketahui umum akan perkara ini. Fatwa ini juga telah disokong oleh Mufti selepas itu seperti Dr. Ahmad Toyyib dan Mufti hari ini Dr. Ali Jum’ah. Pandangan mengatakan bahawa menghisap rokok itu haram adalah pandangan yang amat kuat berdasarkan dalil, kajian perubatan kesihatan hari ini dan kemudaratan lain seperti harta dan sebagainya.
Adakah sewajarnya kita masih berkhilaf?
Dr. Yusuf Qaradawi menyatakan bahawa khilaf di kalangan ulama’ dalam masalah rokok ini pada suatu ketika dahulu adalah kerana tiada kajian yang kukuh kepada akibat merokok ini. Tambah beliau lagi jika ulama’ dahulu mendapati kajian yang kukuh berkenaan ‘darar’ atau mudarat yang ada sudah pasti mereka tidak khilaf dalam masalah ini.
Beliau berkata :
” Dalam zaman kita hari ini, para ulama’ sewajarnya bersepakat dalam hukum kerana hukum yang dikeluarkan seorang faqih adalah berdasarkan kepada pandangan doktor. Jika doktor mendapati merokok ini membahayakan manusia maka seorang faqih semestinya mengatakan ianya haram kerana apa yang memudaratkan kesihatan manusia semestinya diharamkan oleh syara’”.
Dengan ini jelaslah bagi kita bahawa perbuatan merokok ini dengan apa bentuk dan caranya mesti ditolak oleh seorang muslim kerana perbuatan ini hanyalah sia-sia dan hanya mendatangkan kemudaratan kepada agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Berkenaan dengan alat Sheesha yang beraneka bentuk dan warna yang dijual hari ini jika ada yang hanya hendak membeli sekadar dijadikan perhiasan maka sewajarnya juga dihindarkan kerana alat seperti sheesha ini bukanlah sesuatu yang dijadikan perhiasan dan menyimpannya adalah sia-sia. Berdasarkan kepada sabda Rasulullah :
عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه و سلم قال : من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه
رواه الترميذى وغيره
Maksudnya : ” Daripada kebaikan Islam seseorang itu dia meninggalkan perkara yang tidak ada kaitan dengan dirinya sebagai seorang muslim daripada perkataannya dan perbuatannya”.
waialliqa' massalamah
No comments:
Post a Comment