Wednesday, January 26, 2011

.analisis1.

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak kajian atau mungkin sekadar analisis yang telah saya jalankan dalam tempoh 18 tahun saya hidup. Ada yang akan mempertikaikan. Itu saya pasti. Namun, saya harap daripada pandangan yang sedikit ini akan mampu memberi idea kepada kita (generasi muda) untuk lebih melihat ke hadapan. Merangka hala tuju kita.

Analisis 1: 13 angka peralihan.

Sudah sekian lama saya ingin mengetengahkan analisis saya ini, Mungkin sebab itu saya memilihnya sebagai yang pertama. 13 di sini merujuk kepada umur 13 tahun. Di negara kita, umur ini adalah satu tahun selepas darjah 6. Sewaktu darjah 6, kanak-kanak negara kita akan menduduki peperiksaan UPSR.

Setelah tamat darjah 6, mereka akan beransur ke tingkatan 1, yakni pada usia 13 tahun. Pada usia ini, mereka akan berpijak ke satu alam yang baru, berbeza dengan tahun yang sebelumnya. Tambahan pula, pada usia ini juga, ramai akan berpindah ke pelbagai jenis sekolah; SBP, MRSM, SMKA, sekolah-sekolah kluster dan sebagainya, berbekalkan keputusan UPSR mereka. Manakala yang lain hanya menyambung ke sekolah-sekolah berdekatan dengan rumah mereka sahaja. Baiklah.

Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ? Pertama, tempat belajar baru pada usia ini akan mempengaruhi karakter mereka untuk tahun-tahun akan datang. Sebelum saya meneruskan bicara, ingin sekali saya nyatakan yang saya tidak membanding beza antara institusi pendidikan menengah di sini. Kembali kepada perbincangan. Mengapa saya katakan institusi pada usia ini akan mencorak mereka? Jelas sekali kerana tempat serta suasana di tempat tersebut adalah baru bagi mereka. Pelajar-pelajar pada usia 13 ini berpotensi tinggi untuk mengikut dan mempraktikkan aktiviti-aktiviti harian di tempat tersebut. Selain itu, tindak tanduk pelajar-pelajar yang lebih kanan akan menambahkan impak ini.

Bagi saya, usia 13 tahun ini ibarat tempoh yang agak menenangkan, seandainya kita kaitkan dengan peperiksaan awam. Tiada sebarang peperiksaan awam pada usia ini. Oleh itu, usia sewajarnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh golongan ini. Pelbagai peribadi dan kemahiran boleh dibentuk dan diasah. Daripada aktiviti kesukanan dan kecergasan sehinggalah ke pembangunan sahsiah dan kepimpinan. Namun, terus-terang saya katakan di sini, saya tidak mengharapkan usaha ini datang dari kalangan pelajar-pelajar itu sendiri, tetapi mestilah didokong oleh pihak institusi pendidikan yang berkenaan. Hal ini adalah kerana, para pelajar masih muda dan baru mula untuk mengenali dunia yang sebenar. Kita tidak boleh nak menjangkakan sesuatu yang lebih daripada mereka. Sebaliknya, pihak institusi pendidikan sendiri yang perlu mengadakan pelbagai inisiatif untuk mencapai objektif ini. Sebagai contohnya, seorang pelajar mendaftar di sebuah institusi A. Pagi pelajar tersebut ke sekolah, masuk kelas, belajar, rehat, belajar, balik rumah. Pada waktu kokurikulum pula, pergi ke sekolah, pergi ke tempat perjumpaan, ambil kedatangan, sembang-sembang, balik. Seronok ? Sepatutnya, pendidikan bukanlah sekadar itu.

Saya percaya bahawa jika suasana sekolah adalah lebih daripada itu, saya yakin pendidikan menengah akan menjadi lebih menyeronokkan. Kita bukan sahaja inginkan generasi yang bijak dari segi subjek-subjek yang diambil dalam peperiksaan, tetapi generasi yang lengkap dari segi Jasmani Emosi Rohani dan Intelek atau JERI. Oleh itu, perkara yang kedua yang ingin saya nyatakan adalah penerapan sukan dan aktiviti jati diri pada usia 13 tahun. Seperti yang kita sedia maklum, setiap institusi pendidikan mempunyai cara mereka sendiri untuk mengimplementasikan elemen sukan dan kesukanan serta jati diri dalam diri pelajar-pelajar mereka. Saya ambil contoh, sebuah sekolah berasrama penuh ambilan tingkatan 1; setiap pelajar akan diberi peluang untuk bermain pelbagai jenis sukan yang mereka gemari atau bakal mereka gemari. Ada di antara mereka yang sudah cekap bersukan sejak kecil lagi dan ada juga yang baru mempelajari. Tidak mengapa. Apa yang penting di sini adalah permulaan. Pada usia ini, pelajar bermain dan terus berlatih untuk meningkatkan potensi diri. Semestinya, tidak semua akan mewakili sekolah mereka pada usia ini, tetapi tidak bermakna mereka tidak akan menyertai pada tahun berikutnya. Rentetan daripada ini, para pelajar akan lebih yakin untuk mendepani pelbagai cabaran di waktu akan datang.

Selain aktiviti sukan, aktiviti kokurikulum lain atau amalan harian yang bermula pada usia ini turut memainkan peranan kepada pembangunan diri generasi ini pada tahun-tahun akan datang. Antara amalan-amalan tersebut adalah zikir-zikir harian dan al-Mathurat setiap hari seperti yang diamalkan di sekolah-sekolah agama. Mungkin pada mulanya akan rasa terpaksa, namun, setelah dipraktikkan beberapa lama, perkara tersebut akan menjadi kebiasaan, sehingga tidak perlu merujuk risalah-risalah bacaan untuk rujukan. Seperti yang dikatakan sebelum ini, setiap perkara hendaklah mempunyai permulaan, dan permulaan sebaik-baiknya adalah dari awal lagi. Impak daripada penerapan amalan-amalan harian seperti ini, sahsiah dan akhlak yang mulia dapat diterapkan secara tidak langsung dan perkara-perkara dapat diatasi. Semuanya kerana kesedaran oleh para pelajar itu.

Pendidikan menengah bukanlah sekadar untuk dihabiskan dan kelayakan tersebut digunakan untuk memohon pekerjaan dan sebagainya, tetapi ia merupakan tempoh 5 tahun yang akan mematangkan seseorang pelajar itu. Pendidikan tidak seharusnya daripada buku teks dan silibus sahaja, malah apa yang dipelajari tersebut hendaklah diamalkan sebagai sebahagian daripada hidup kita, persis peribahasa arab, al-ilmu bila amali kasyajari bila thmari. Saya harap pelbagai pihak, khususnya pihak institusi pendidikan tidak memandang mudah perkara ini. Masa depan dan hala tuju setiap remaja yang sedang dan akan meniti umur 13 tahun ini terletak di bahu-bahu anda. Pendek kata, marilah kita sama-sama melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak intelek tetapi handal dari segi emosi, terbaik jasmaninya dan paling penting utuh rohaninya.insyaAllah.

Wailalliqa' maassalamah.

No comments:

Post a Comment