Assalamualaikum.
Kematian itu satu kepastian. Semua yang hidup pasti akan merasai mati. Namun, apakah kita sudah bersedia menghadapi detik-detik itu ? Tepuk dada, tanya iman.
Seharian dalam hidup, sudah semestinya kita akan melakukan kesilapan,kemungkaran,kejahatan dan maksiat. Ada yang kita sedar dan tidak kurang juga yang kita tak perasan. Semakin hari semakin bertambah dosa yang kita lakukan. Bayangkan dari usia kita baligh (13-14tahun), kita buat kemungkaran, naik ke 15, kita buat kemungkaran, naik ke 16, kita buat kemungkaran dan seterusnya ke 20-an, 30-an, kita buat kemungkaran. Kalau dihitung dan dibuat penjumlahan, nescaya kita akan mendapati banyak sungguh perkara jahat yang telah kita lakukan. Astaghfirullah.
Sebagai makhluk yang diberi akal fikiran yang waras dan kelebihan berfikir oleh yang Maha Esa, kita sepatutnya tidak membataskan pandangan kita mengenai kejahatan atau perkara mungkar untuk skala yang besar seperti merompak atau membunuh, tetapi kita sepatutnya mengenang kembali segala perkara yang telah kita lakukan, dari sekecil-kecil aspek, hinggalah kepada sebesar dan sekritikal sesuatu perbuatan itu.
Cuba kita renung kembali perkara-perkara serius yang telah kita buat tetapi kita anggap perkara itu seperti tidak memberi kesan kepada hidup kita;
- berkata-kata kesat seperti mencarut
- berkata sesuatu tanpa menghiraukan perasaan orang lain lantas menyakiti hati mereka
- mengata dan mengeji orang lain
- mengumpat
- mengambil sesuatu benda tanpa kebenaran atau mencuri
- berlaku biadap terhadap orang yang lebih tua seperti guru, makcik2 dan pakcik2
- meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa
- mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan org lain
- berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim
- menipu dalam berkata-kata
- menipu dalam urus niaga
- berkata perkara-perkara yang sia-sia
- tidak berpakaian seperti yang telah ditetapkan oleh syarak seperti menutup dan menjaga aurat dengan betul
- leka dengan games
- banyak menonton hiburan yang melalaikan
Apakah tindakan kita ? Adakah kita mahu membiarkan sahaja ?
al-Din kita, Islam, amatlah lengkap. Allah S.W.T telah menggariskan segalanya dengan begitu lengkap dan telah diperincikan lagi oleh para Rasul. Subhanallah. Betapa hebatnya agama ini. Dan kalau difikirkan, tidak sukar sebenarnya untuk menjadi dalam kalangan orang yang diredhai oleh Allah. Hanya melakukan apa yang diperintah-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Namun, mengapa kita sukar untuk tunduk kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa ?
Sebagai hamba yang lemah dan bergelumang dengan dosa, ana sangat takut. Takut. Sesungguhnya, seksaan di neraka amatlah pedih, tetapi bertuahlah kepada mereka yang taat kepada Allah.

Memang tidak dinafikan, kita akan merasai keinsafan setelah kita merenung dan mengimbau perbuatan-perbuatan yang telah kita lakukan. Namun, keinsafan tersebut sukar untuk kita kekalkan dek godaan syaitan yang amat kuat. Lantas, momentum keinsafan terus hilang, dan kita pula kembali kepada keadaan asal.
Wahai saudara-saudara, marilah kita menegakkan al-Din kita, Islam. Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. InsyaAllah.

Wailalliqa' maassalamah.